Friday 12 October 2012

Karangan Surat Kiriman Rasmi

Surat Kiriman Rasmi

Soalan: Tuliskan sepucuk surat aduan tentang masalah kerosakan jalan raya yang dialami oelh penduduk di taman perumahan anda

Contoh Karangan:

No 11, Jalan Permaisuri 5A,
Taman Jade Manis,
43200 Serdang, Selangor.



Pengarah Jabatan Kerja,
Jalan Raja Chulan,
43200 Serdang,

Selangor Darul Ehsan.                                                                 20 Ogos 2010

Tuan,

Masalah Kerosakan Jalan Raya

Merujuk perkara di atas, saya sebagai wakil penduduk taman ini ingin membuat aduan tentang masalah kerosakan jalan raya di taman ini. Masalah ini telah berlarutan hampir setahun lamanya dan tiada tindakan daripada pihak tuan hingga hari ini.

2.  Jalan menuju ke taman ini telah berlubang-lubang. Hal ini menyebabkan para pengguna jalan raya tidak berasa selesa. Justeru mereka terpaksa memandu dengan perlahan serta berhati-hati. Terdapat penduduk yang terlibat dalam kemalangan akibat terlanggar lubang yang terdapat di jalan raya itu.

3.  Berlakunya juga tanah runtuh di beberapa tempat di sepanjang jalan raya ini. Keadaan ini amat membahayakan para pengguna yang menggunakan jalan ini. Keadaan yang membahayakan ini tidak disedari terutamanya pada waktu malam. Hal ini boleh mendatangkan kecederaan yang parah kepada para pengguna.

4.  Keadaan jalan raya di sini juga tidak rata. Sesetengah jalan raya berbonggol-bonggol akibat daripada lori membawa tanah yang sering lalu di jalan ini. Akibatnya kenderaan penduduk banyak mengalami kerosakan. Fenomena ini mendatangkan perasaan tidak puas hati di kalangan penduduk.

5.  Kawasan selekoh di jalan raya tersebut kini menjadi terlalu licin. Justeru jalan ini perlu diturap semula oleh pihak tuan. Hal ini kerana sejak kebelakangan ini banyak kemalangan telah berlaku di kawasan ini. Banyak kenderaan telah terbabas akibat gagal dikawal oleh pemandunya.

6.  Garis putih di tengah-tengah jalan raya juga sudah tidak kelihatan. Hal ini kesan daripada kerosakan jalan yang berlaku. Garisan putih ini juga perlu dibuat semula untuk kesenangan para pengguna. Justeru perjalanan kenderaan akan berjalan dengan lancar.

Sekian sahaja yang dapat saya maklumkan untuk pengetahuan tuan. Langkah segera perlu dilakukan demi kebaikan para penduduk taman ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat dihargai oleh kami.


Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

…………………………………..
(M. FAREEZ HAIKAL BIN M.SHAIFUDDIN)
Wakil Penduduk,
Taman Jade Manis.


Tips-Tips Penting Untuk Penulisan Surat Kiriman Rasmi

Tip Penting Surat Kiriman Rasmi



3 comments: