Renungkanlah
Wahai Pendidik
(PENGURUSAN BILIK DARJAH)
PENGENALAN.
Di dalam bilik darjah, selain mengajar, guru juga
memainkan peranannya sebagai pengurus. Tugas guru sebagai pengurus ialah
mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid- murid supaya menjalankan tugas
mereka mengikut jadual bertugas, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya
menjadi lebih kondusif, mengurus bahan- bahan pengajaran dan sebagainya.
Kecekapan guru dalam menjalankan tugas sebagai pengurus
akan mewujudkan sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yanag baik dan keadaan
bilik darjah yang kondusif dan sesuai bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran.
Pelbagai kekangan dan permasalahan yang akan wujud dalam
bilik darjah. Oleh itu keperluan dan kesedaran tentang pentingnya pengurusan
bilik darjah perlu ada dan ditanam di dalam dada semua insan yang bergelar
pendidik.
DEFINISI PENGURUSAN.
Istilah pengurusan mempunyai
berbagia-bagai takrif. Seperti bidang-bidang pengajian dan pendidikan yang
melibatkan manusia, istilah pengurusan sukar untuk ditakrifkan bagi membolehkan
ia diterima secara umum.
Mary Parker Follett, seorang pelopor
pengurusan klasik mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja
melalui sumbangan orang lain.[1]
Takrif pengurusan yang diberi oleh Follett ini banyak
didapati dalam buku pengurusan moden. Harold Koontz pula mentakrifkan
pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui dan bersama orang lain di
dalam suatu kumpulan yang sengaja diadakan.[2]Takrif
pengurusan seperti ini memberitahu kepada kita bahawa pengurusan biasanya
mencapai objektif dengan cara memberikan penugasan kerja kepada orang lain
supaya kerja- kerja dapat dilaksanakan bagi mencapai objektif tersebut.
Pengurusan secara fitrahnya melibatkan
perhubungan pengurus dengan pekerja bawahannya atau subordinat. Dalam hal ini,
Stoner mentakrifkan pengurusan ialah satu proses perancangan, pengelolaan,
pengarahan dan kawalan terhadap usaha- usaha ahli organisasi dan penggunaan
sumber- sumber organisasi yang lain dalam usaha untuk mendapatkan matlamat yang
telah ditetapkan.[3]
Menurut perspektif Islam, pengurusan
ditakrifkan sebagai satu proses melakukan kerja dan menyempurnakan kerja
melalui fungsi- fungsi pengurusan secara fitrah melalui dan bersama orang lain
dalam usaha mencapai objektif kerja secara berkesan dan menggunakan sumber-
sumber organisasi dengan cekap dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa
berubah- ubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai al- falah di
dunia dan di akhirat.[4]
Pengurusan juga boleh ditakrifkan sebagai satu proses
mendapatkan penyertaan, kerjasama dan campurtangan ahli untuk mencapai
objektif- objektif organisasi atau kumpulan, gerak kerjanya termasuk merancang
mengelola, memimpin, mengarah dan mengawal.[5]
DEFINISI BILIK DARJAH.
Bilik darjah sebagai tempat berlakunya
proses pengajaran dan pembelajaran merupakan tempat yang terpenting yang perlu
ada pada sekolah. Ia juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seseorang
guru.[6]
Secara amnya, bilik darjah ialah bilik-
bilik disekolah dimana sekumpulan murid atau pelajar mengikuti pelajaran atau
belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Untuk konsep yang lebih
luas, bilik darjah tidak semata- mata merupakan ruang untuk proses pengajaran
dan pembelajaran, tetapi mencakupi pelajar- pelajar dan guru yang belajar dan
mengajar dan berinteraksi antara satu sama lain didalamnya.[7]
DEFINISI
PENGURUSAN BILIK DARJAH.
Pengurusan bilik darjah merupakan satu proses yang
memerlukan guru mengurus bilik darjah agar aktiviti penagjaran dan pembelajaran
yang berkesan dapat dijalankan. Tugas mengurus
bilik darjah termasuk juga aktiviti mengatur reka letak fizikal dan mewujudkan
komunikasi dan interaksi dikalangan pelajar dan guru.[8]
Pengurusan bilik darjah juga boleh didefinisikan sebagai
set tingkahlaku yang kompleks yang digunakan oleh guru untuk menetapkan, dan
memastikan keadaan- keadaan bilik darjah dapat membawa ke pencapaian objektif
pengajaran yang berkesan.[9]
Menurut Lee Shok Mee(1995), pengurusan
bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai semua tindakan guru mengendalikan kelas
supaya mewujudkan suasana persekitaran yang tersusun untuk menggalakkan
pembelajaran.[10]
FAKTOR- FAKTOR PENGURUSAN BILIK DARJAH.[11]
1) Manusia.
Unsur manusia merupakan perhubungan
antara guru dengan murid dan perhubungan murid dengan rakan sebayanya. Aspek
ini berkaitan dengan saling interaksi, tingkahlaku, syahsiah dan kerjasama
antara mereka.
2) Kebendaan.
Unsur kebendaan merupakan segala alatan
dan kelengkapan yang ada di dalam bilik darjah. Pengurusan dalam aspek ini
melibatkan penyusunan kerusi, meja, alatan, ruang pembelajaran, buku dan hiasan
dalam bilik darjah. Susunan kemudahan fizikal yang menarik dapat
mendorong murid terhadap pembelajaran.
3) Operasi.
Unsur operasi pula merupakan segala
aktiviti yang dijalankan oleh guru dan murid dalam bilik darjah. Pengurusan
operasi secara lancar akan menjamin aktiviti pembelajaran dapat dilaksanakan
dengan teratur dan sempurna.
ASPEK- ASPEK PENGURUSAN BILIK DARJAH.
Di sini penulis menetapkan empat aspek utama dalam
pengurusan bilik darjah.
Pertama, iklim dan persekitaran bilik darjah. Ianya berkaitan
dengan pengurusan fizikal seperti pembentukan iklim fizikal, sosial, emosi dan
penyusunan bilik darjah. Sauasana fizikal bilik darjah merupakan rangka yang
menentukan keadaan pembelajaran. Suasana fizikal mampu menggalakkan atau
menghalang pembelajaran, dan oleh sebab inilah suasana fizikal bilik darjah
harus dapat dikawal atau ditentukan oleh guru.
Perancangan dan penyusunan suasana
fizikal bilik darjah melibatkan organisasi, merancang dan menggunakan perkara-
perkara yang berkaitan denagn tempat duduk murid, bahan bantu mengajar, papan
pameran dan berbagai- bagai perabot lain dengan sempurna.[12]
Persekitaran bilik darjah yang
mendorong pengajaran dan pembelajaran tidak wujud begitu sahaja. Seseorang guru
hendaklah merancang serta melaksanakan kegiatan yang boleh mewujudkan kea arah
persekitaran dan iklim yang sedemikian.
Suasana bilik darjah yang harmonis membantu peningkatan
pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna. adalah menjadi tanggungjawab
guru untuk membentuknya. Guru perlu bijak dalam menggunakan pendekatan-
pendekatan bagi mengawal iklim dalam bilik darjah berlandaskan tahap
perkembangan murid. Iklim dalam bilik darjah yang baik biasanya dikaitkan
dengan kepatuhan dan keseronokan murid dan guru dalam bilik darjah tersebut.
Pengurusan bilik darjah juga akan
semakin baik apabila sistem penyeliaan diurus dengan berkesan. Murid- murid
diberikan tugasan dalam mewujudkan iklim yang kondusif serta membantu dalam
penyediaan bahan dan alatan, tugasan- tugasan yang diberikan kepada setiap
murid pada setiap awal tahun secara tidak langsung ai dapat mengembangkan
budaya bertanggungjawab, kerjasama serta hubungan baik antara mereka dengan
guru dan sesama mereka.
Dari aspek pengurusan iklim fizikal,
guru hendaklah memastikan bilik darjah itu sentiasa bersih dan kerusi mejanya
teratur. Jika kelas itu merupakan kelas KBSR, setiap kumpulan mestilah tersusun
sselepas setiap waktu pelajaran. Selain itu, sudut-sudut pembelajaran hendaklah
diwujudkan bagi merangsang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih
dinamik.[13]
Selain itu, penyusunan tempat duduk
murid juga penting dalam pengurusan fizikal dan iklim bilik darjah. Walaupun
tempat- tempat duduk dalam bilik darjah tidak dapat diganti atau diubah- ubah
dari segi fizikal, namun beberapa perkara penting harus diawasi oleh guru.
1. Meja guru.
Pada zaman dahulu, meja guru biasanya
terletak di hadapan bilik darjah. Keadaan ini memberi gambaran guru sebagai
seorang pemerintah yang menguasai semua muridnya. Di kedudukan ini, semua murid
dapat melihat guru, dan meja guru jelas kelihatan dari pintu darjah. [14]
2. Kerusi dan meja murid.
Penyusunan meja murid bergantung kepada
umur dan keperluan murid. Ia juga harus ditentukan oleh guru. Satu cara paling
mudah ialah mengaturkan tempat duduk mengikut giliran abjad nama murid. Dalam
bilik darjah yang bercampur lelaki dan perempuan, penyusunan seperti ini akan
mengurangkan masalah disiplin, kerana murid- murid yang sama jantina biasanya
suka berinteraksi bersama, dan keadaan ini menggalakkan tingkahlaku nakal.
Penyusunan kerusi- meja murid dalam
bilik darjah yang berbeza kebolehannya perlu dikawal, dan ditentukan oleh guru,
kerana penyusunan ini ialah cara mengawal disiplin juga dan dengan cara itu
guru harus memisahkan murid- murid yang perlu dipisahkan atau membiarkan murid
yang perlu berseorangan.[15]
Dari aspek pengurusan bagi mewujudkan
iklim sosial, guru hendaklah merancang pergerakan pelajar, tingkahlaku pelajar
di dalam kelas semasa guru mengajar, mewujudkan kumpulan perbincangan,
bertanyakan soalan, berbudi bahasa, mengadakan prosedur dalam peminjaman dan
pemulangan peralatan pembelajaran.[16]
Dari aspek pengurusan bagi mewujudkan
iklim emosi pula, guru perlu memiliki kemahiran komunikasi dan kelucuan penuh
dengan budi bahasa untuk mewujudkan kemesraan dan empati di samping
mengendurkan perasaan takut dan suasana tegang di kalangan pelajar. Ganjaran
dan pujian merupakan salah satu cara yang dapat memotivasikan pelajar.[17]
Kedua, aspek komunikasi dalam bilik darjah. Ini kerana
murid adalah pelanggan bagi setiap guru dalam bilik darjah, mereka akan bersama
setiap kali pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam bilik darjah. Hati
mereka perlu dibersihkan melalui pendidikan yang terbaik, yang melampaui
tingkahlaku manusia. Terdapat perbezaan antara individu murid atau kumpulan
murid dengan yang lain yang mendesak guru menggunakan yang optimum dalam
pengurusan bilik darjah, dan adalah penting guru memahami tingkahlaku dan
budaya murid supaya sebarang tindakan dapat dilakukan mengikut kaedah yang
betul dan tepat
Pengurusan hal ehwal murid dalam bilik darjah melalui
pendekatan penyayang yang ditunjukkan oleh guru, dapat menjinakkan mereka,
bercakap dengan bahasa yang lembut dan bersopan, menegur dan membetul kesilapan
dengan cara yang berhemah, di samping menggunakan segala sifat mahmudah, akan
mempercepatkan proses kecintaan dan kesetiaan murid terhadap gurunya, dan kemujaraban
pemindahan maklumat daripada guru kepada muridnya. [18]
Kemahiran yang pelbagai perlu ada dalam
diri setiap guru bagi menjamin pengurusan bilik darjah yang efektif. Salah
satunya adalah kemahiran berkomunikasi dan ianya teras kepada pembentukan
budaya yang positif dalam bilik darjah. Komunikasi merupakan aspek penting
dalam pengurusan bilik darjah. Oleh kerana pengurusan bilik darjah melibatkan
manusia iaitu guru dan murid, perhubungan antara mereka sentiasa wujud dan
penting. Proses sosialisasi tidak akan di bilik darjah tidak akan berlaku
sekiranya tidak wujud komunikasi.
Komunikasi merupakan proses penyampaian
mesej, samaada lisan atau bertulis. Sekiranya mesej yang dihantar oleh
penyampai dapat difahami maksudnya oleh penerima maka komunikasi berkesan telah
berlaku. Ketika guru menulis di papan hitam untuk kegunaan murid- murid maka
komunikasi lisan telah berlaku.[19]
Menurut Feeney (1983) mengatakan bahawa komunikasi
merupakan satu proses untuk menyampaikan maklumat, mesej atau isyarat kepada
pihak lain. Proses komunikasi dibina daripada pengalaman dan persefahaman
antara kedua- dua belah pihak. Tindak balas atau reaksi yang lahir daripada
proses komunikasi ini adalah berpunca daripada pengalaman dan persefahaman yang
wujud antara mereka.[20]
Antara ciri yang perlu ada pada seseorang guru untuk
memperbaiki kemahiran komunikasi di bilik darjah ialah:[21]
1.
Mengamalkan
demokrasi dalam komunikasi.
Mengamalkan prinsip demokrasi di dalam bilik darjah dapat
memperbaiki komunikasi. Wujudnya amalan demokrasi dalam bilik darjah akan
melahirkan suasana yang kondusif dan harmoni. Murid tidak akan rasa berasa
takut atau tertekan untuk menyuarakan pendapat mereka. Mereka bebas menyuarakan
pandangan walaupun pandangan mereka itu kurang disenangi oleh guru dan rakan
lain.
2.
Menggunakan
bahasa yang berkesan.
Bahasa merupakan media terpenting dalam proses komunikasi
di bilik darjah. Mesej atau maklumat yang disampaikan oleh guru kepada murid
perlu menggunakan bahasa yang berkesan iaitu tepat, jelas dan ringkas. Penggunaan
bahasa yang panjang dan meleret- leret akan menyukarkan pemahaman dan mungkin
akan berlakunya penyalahan tafsiran.
3.
Kesediaan untuk mendengar.
Komunikasi berlaku antara dua pihak, iaitu pemberi
maklumat dan penerima maklumat. Walaupun guru merupakan orang yang terpenting
sebagai pemberi maklumat di bilik darjah, guru juga perlu menjadi penerima
maklumat. Kesediaan guru untuk mendengar apa yang diujar oleh murid dapat
mewujudkan suasana yang baik untuk proses berkomunikasi. Murid akan lebih bersedia
untuk memberi pandangan mereka sekiranya mereka mengetahui bahawa guru mereka
sedia untuk mendengar.
4.
Menghormati
perasaan orang lain.
Proses komunikasi juga melibatkan domain efaktif, di
samping kognitif dan psikomotor. Sebagai guru, seseorang itu perlu menghormati
orang lain, termasuklah menghormati perasaan atau emosinya. Murid yang
tersinggung perasaannya tidak akan berkomunikasi dengan baik. Atau mungkin ia
tidak mahu lagi berkomunikasi dengan guru. Guru perlu sedar akan perasaan atau
isi hati muridnya agar dapat mewujudkan iklim yang sesuai untuk berkomunikasi
di bilik darjah.
5.
Menyesuaikan
diri dengan situasi.
Guru perlu bijak mengubah peranan mengikut kehendak
situasi. Sekiranya berhadapan dengan situasi yang berbeza, guru perlu menukar
cara berinteraksi yang bersesuaian dengan individu atau kumpulan berkenaan.
Murid di dalam sesebuah kelas adalah terdiri daripada individu- individu atau
kelompok- kelompok yang berbeza. Guru yang prihatin dan sensitif dapat
menyesuaikan diri mengikut keadaan.
Ketiga, aspek
pengurusan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.[22]
Pengajaran dan pengurusan adalah penting dan saling berkait.Ia melibatkan
perancangan guru dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang
berlaku dapat mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan.Peningkatan
profesionalisme guru didalam bilik darjah dilihat dalam aspek kebolehan
mencorak kualiti pengajaran, kebolehan menyusun organisasi pembelajaran,
kebolehan mencorak iklim dalam bilik darjah dan yang berkaitan dengannya.
Bagi mencapai kecekapan dalam pengurusan pengajaran dan
pembelajaran maka perlukan kebijaksanaan dan penelitian dalam perancangan,
pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Merancang kurikulum, sukatan,
huraian sukatan, bahan rujukan tambahan samaada dari buku- buku yang terdapat
di kedai- kedai buku atau boleh juga diakses melalui internet.
Bagi mendapatkan pengajaran yang berkesan, seseorang guru
perlu menyampaikan pengajarannya mengikut prinsip- prinsip yang tertentu.
Prinsip- prinsip pengajaran yang baik:[23]
1.
Murid- murid hendaklah
dilibatkan dengan aktif di dalam proses pengajaran.
Didalam proses pengajaran guru
hendaklah melibatkan murid- murid untuk menjadikan mereka aktif dari segi
mental dan fizikal sepanjang masa dalam tempoh pengajaran dan pembelajaran.
Dalam kebanyakkan situasi pembelajaran, murid- murid belajar dengan lebih baik
lagi kalau mereka melakukan aktiviti jasmani sambil menumpukan kepada aktiviti-
aktiviti mental. Umpamanya murid- murid belajar dengan lebih baik lagi tentang
sesuatu pelajaran Sains kalau mereka melakukan percubaan- percubaan berbanding
hanya mendengar penerangan guru sahaja. Oleh yang demikian murid- murid yang
aktif melakukan aktiviti jasmani dan mental lebih baik daripada murid- murid
yang hanya pasif didalam kelas.
2.
Penggunaan
pelbagai kaedah didalam proses pengajaran.
Dalam proses penyampaian pelajaran
tidak ada kaedah tertentu yang sesuai untuk digunakan pada setiap masa. Oleh
kerana itu, guru perlu kreatif memilih kaedah pengajaran supaya murid- murid
tidak bosan dan objektif pengajaran akan dapat dicapai.
Pemilihan kaedah pengajaran perlulah
berdasarkan panduan berikut:[24]
1.
Kaedah yang
digunakan hendaklah bersesuaian dengan murid- murid yang diajar dalam bilik
darjah.
2.
Guru hendaklah
benar- benar memahami tentang kaedah yang akan digunakan. Pastikan kaedah ini
dapat memberi kejayaan atau kesan positif dalam pembelajaran murid- murid.
3.
Kaedah yang
digunakan hendaklah dapat merangsang murid- murid berfikir dan melibatkan diri
dalam pembelajaran secara aktif.
4.
Kaedah yang
digunakan hendaklah dapat memandu murid- murid untuk mencapai kejayaan.
Para sarjana Pendidikan Islam banyak memperkatakan
tentang kaedah pengajaran dalam kitab- kitab tulisan mereka yang sewajarnya
diikuti dan dipraktikkan oleh pendidik- pendidik Islam khususnya dan para
pendidik umumnya.
Diantara kaedah- kaedah yang boleh digunakan dalam
pengajaran ialah kaedah hafalan, syarahan, dialog, soal jawab, perdebatan, latih
tubi, bercerita dan sebagainya.
3. Isi pelajaran hendaklah dikaitkan
dengan pengetahuan dan pengalaman murid
murid.
Sesuatu pelajaran yang hendak
disampaikan oleh guru kurang mendatangkan kesan kepada murid- murid, sekiranya
pelajaran itu jauh dari pengalaman dan pengetahuan sedia ada mereka. Pelajaran
akan lebih bermakna kalau dikaitkan dengan pengalaman yang telah ada pada
mereka. Dengan itu, guru perlu memastikan bahawa isi pelajaran haruslah
disertakan dengan contoh- contoh yang telah mereka alami. Oleh itu, isi
pelajaran akan lebih mudah difahami.
4. Pengajaran hendaklah mengambil
berat tentang perbezaan individu.
Pengajaran yang baik hendaklah
mengambil kira soal perbezaan antara invidu murid. Ini kerana setiap murid
mempunyai keupayaan dan latar belakang yang berbeza. Di dalam bilik darjah,
kumpulan murid boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pandai, sederhana
dan lemah. Manakala dari aspek latar belakang terdapat murid yang lahir
daripada golongan kaya, sederhana dan miskin. Dalam hal ini, guru perlu sedar
bahawa tidak boleh menggunakan corak dan kaedah pengajaran bagi semua murid.
Pengetahuan terhadap adalah penting bagi membantu guru memahami kehendak dan
keperluan murid yang berbeza ini. Hasilnya, proses pengajaran dan pembelajaran
dapat dilaksanakan dengan sempurna seterusnya objektif dapat dicapai.
Perancangan yang teliti haruslah dilakukan bagi setiap
guru. Rancangan pengajaran hendaklah dibuat sebelum penggal persekolahan
bermula. Persediaan mengajar merangkumi rancangan pengajaran harian, rancangan
pengajaran tahunan, bahan bantu mengajar, kaedah dan teknik yang hendak digunakan
dan lain- lain. Guru juga tidak lari dari melakukan langkah pengajaran yang
memerlukan kepada modul.
Oleh kerana pengajaran merupakan satu proses, ia melalui
beberapa fasa atau peringkat yang berurutan yang biasanya dibentuk dalam
rancangan pengajaran tahunan. Proses pengajaran dimulakan dengan set induksi
iaitu peringkat awal pengajaran. Biasanya aktiviti ini tidak memakan masa yang
lama antara dua hingga tiga minit. Seterusnya diikuti dengan perkembangan isi
yang ada pada beberapa langkah yang telah dirancang dan ianya berkaitan dengan
objektif khusus pembelajaran. Di peringkat ini, guru perlu memikirkan aktiviti
dan kaedah yang sesuai. Proses pengajaran diakhiri dengan penutup dan ianya
bertujuan untuk memperkukuhkan ingatan murid terhadap pelajaran yang telah
disampaikan oleh guru.
Keempat, pengurusan yang berkaitan dengan disiplin murid.[26]
Disiplin murid merupakan salah satu aspek penting yang
berkaitan dengan pengurusan bilik darjah. Mengurus dan mewujudkan disiplin
dalam bilik darjah adalah salah satu unsur utama bagi mencapai kejayaan dalam
proses pengajaran pembelajaran. Tiada masalah pengajaran yang lebih mencabar
guru daripada masalah disiplin. Guru yang baru mula mengajar sering merasa
khuatir mengenai masalah- masalah didiplin. Ini kerana kejayaan dan kegagalan
disepanjang tahun adalah bergantung kepada kebolehannya mengawal persekitaran
bilik darjah.
Menurut Lindgren (1976) menghuraikan bahawa disiplin
membawa maksud hukuman dan kawalan untuk mematuhi tatatertib. Disiplin juga
membawa maksud latihan yang bertujuan untuk membetul dan mengukuh pelakuan
seseorang.[27]
Secara umum, disiplin melibatkan cara seseorang berfikir
dengan teratur supaya dapat melahirkan sifat yang rasional, mewujudkan
keyakinan diri dan ketabahan hati seseorang itu untuk mengikut peraturan- peraturan
yang diterima umum.
Pada hakikatnya, tidak dapat dinafikan bahawa
menyingkirkan punca berlakunya masalah disiplin adalah lebih baik daripada
memperbetulkan tingkahlaku yang tidak diingini. Guru perlu sedar dan peka,
dalam proses seseorang individu murid itu berkembang dan membentuk kebolehan
mengarahkan dirinya sendiri terdapat pelbagai pengaruh yang akan menjuruskan
dirinya dalam masalah disiplin. Tiga pengaruh utama ialah pengaruh persekitaran
fizikal, pengaruh melalui perhubungan diantara individu dan pengaruh yang
melibatkan hubungan dengan masyarakat.
Penulis turut meletakkan punca berlakunya masalah
disiplin dalam bilik darjah:
1. Guru kurang berfungsi.
Guru merupakan salah satu anggota atau kakitangan yang
paling penting dalam membangunkan sesebuah masyarakat yang dipenuhi dengan
modal insan yang progresif. Peranan dan sumbangannya amat diperlukan pada mana-
mana peringkat samaada rendah mahupun menengah. Gagal memberi tumpuan kepada
bilik darjah akan menghasilkan perubahan tingkahlaku yang negatif dalam diri
murid- murid. Kesannya, akan berlaku pengabaian yang tidak formal terhadap
murid yang sedia ada di dalam bilik darjah, seterusnya membawa kepada masalah
disiplin.
2. Wujud
kumpulan tertentu.
Bilangan murid yang ramai dalam sesebuah bilik darjah
mengakibatkan wujudnya kelompok bilangan murid tertentu seperti kumpulan-
kumpulan elite yang mempunyai prestasi pelajaran yang baik berbanding
sebahagian yang lain. Kumpulan murid yang kurang pencapaiannya dalam pelajaran
pula akan mengasingkan diri mereka kerana wujudnya perasaan rendah diri. Inilah
titik tolak kepada masalah disiplin yang lain.
3. Pengajaran
dan pembelajaran yang kurang berkesan.
Proses pengajaran dan pembelajaran amat penting bagi
memastikan bidang pendidikan melahirkan modal insan yang berjaya didunia dan
akhirat. Kegagalan guru dalam menyusun corak pengajaran yang baik akan
menyebabkan tumpuan murid- murid juga gagal dicapai. Maka akan berlakulah
sikap- sikap yang kurang menyenangkan didalam bilik darjah seterusnya membawa
kepada masalah disiplin.
4. Halangan komunikasi.
Komunikasi adalah salah satu aspek penting dalam
pengurusan bilik darjah. Kebiasaannya, murid- murid akan mengadu hal tentang
ketidakfahaman mereka terhadap sesuatu topik. Kegagalan guru bagi mewujudkan
komunikasi yang positif dalam hubungannya dengan murid akan mendatangkan kesan
malu dan rendah diri murid kerana mereka menganggap guru kurang memberi
perhatian tentang pertanyaan mereka. Biasanya, golongan- golongan inilah yang
akan bermasalah didalam bilik darjah.
Oleh itu, penulis juga memberi panduan bagi mengatasi
masalah disiplin di dalam bilik darjah.[28]
1. Ganjaran perlakuan yang baik.
Murid perlu diingatkan bahawa perlakuan yang positif di
bilik darjah akan diberi ganjaran. Guru akan memberi perhatian kepada murid
yang berkelakuan baik. Pujian yang sederhana dan berpatutan merupakan satu
ganjaran yang mudah dan berkesan.
2. Penggunaan
bahasa isyarat.
Guru tidak perlu memberhentikan pengajaran sekiranya
terdapat murid yang tidak memberi tumpuan. Guru boleh menggunakan bahasa
isyarat, seperti merenung atau menggeleng- geleng kepala kearah murid tersebut,
atau menggunakan isyarat tangan agar murid memberi perhatian kepada guru.
3. Mempelbagaikan kaedah pengajaran.
Salah satu sebab murid berasa resah ketika guru mengajar
adalah kerana mereka bosan dengan cara guru menyampaikan pelajaran. Murid kerap
berasa jemu sekiranya guru hanya menggunakan kaedah yang sama ketika menagjar.
Guru perlu berusaha mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajran agar ianya
sesuai dengan keadaan dan isi pelajaran serta mampu menarik minat murid untuk
mengikuti pengajaran guru.
4. Gunakan
kaedah kaunseling.
Ada kalanya, masalah disiplin murid tidak dapat
diselesaikan dengan mudah. Guru perlu merujuk masalah tersebut kepada guru
kaunseling. Dengan latihan dan kepakaran yang ada, guru kaunseling mungkin
dapat mengatasi masalah tersebut.
KESAN PENGURUSAN BILIK DARJAH YANG BERKESAN.
Pertama, banyak kajian
telah dilakukan yang mengaitkan keberkesanan pengurusan bilik darjah denagn
kejayaan murid. Kajian menunjukkan bahawa pencapaian murid adalah hasil
daripada pelakuan guru, seperti merancang, mengurus dan mengajar dan pelakuan
murid seperti melibatkan diri, menguasai pelajaran dan menyelesaikan tugasan.
Cole (1994), merumuskan bahawa kejayaan dan keberkesanan
pengurusan bilik darjah bergantung kepada empat faktor yang perlu ada pada
seseorang guru, iaitu kemahiran berkomunikasi, kemahiran merancang dan
mengurus, kemahiran mengajar dan keupayaan guru menggunakan motivasi dan
pengukuhan. Keempat- empat faktor ini sama pentingnya dan guru yang dapat
mengurus kelas denagn baik. Ketidakberkesanan pengurusan bilik darjah ada
kalanya tidak langsung berkaitan dengan perlakuan negatif murid.[29]
Kedua, pengurusan
bilik darjah yang berkesan menggalakkan daya pemikiran kreatif yang tinggi
dikalangan murid. Ia berkaitan dengan corak penyusunan tempat duduk dan
pengaturan bilik darjah. Penggalakkan murid- murid supaya aktif didalam bilik
darjah adalah bergantung kepada corak bilik darjah tersebut. Perkara ini
memerluakn imaginasi guru supaya perkongsian ilmu melalui perbincangan dapat
dilakukan antara mereka dengan suasana yang selesa. Papan kenyataan dalam bilik
darjah juga menggalakkan pemikiran yang lebih baik sekiranya diamnfaatkan
secara berkesan.[30]
Ketiga, pengajaran
dapat dilaksanakan denagn berkesan. Ini kerana, kemampuan seorang guru dalam
mengurus bilik darjah secara fizikal, iklim, komunikasi dan pengawala disiplin
dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar seterusnya
objektif dan matlamat dapat dicapai.
KESIMPULAN:
Guru yang berkualiti mempunyai wawasan yang jelas, daya
kreativiti, serta peka terhadap segala perubahan yang dikehendaki oleh pengurusan
atasan supaya tidak berlaku pembaziran waktu disebabkan berlakunya pemantauan
yang efektif.
Guru yang berwibawa sentiasa berfikir kaedah bagi
mencapai pengurusan bilik darjah yang cemerlang, diantara perkara utama yang
harus dipandang berat ialah memahami amanah yang diberikan padanya dalam
kerjayanya sebagai pendidik.
Tugas guru bukan sahaja mendidik malahan lebih daripada
itu sekiranya matlamat utama yang ingin dicapainya adalah melahirkan modal
insan yang berkualiti dan berjaya didunia dan akhirat.
Oleh itu, semua guru dan bakal guru haruslah
menitikberatkan apa yang berkaitan dengan pengurusan bilik darjah dari segala
aspek agar matlamat dan objektif pendidikan dapat dicapai. insyaAllah.
RUJUKAN:
1.
Abd. Ghafar Md.
Din(2003), Prinsip dan Amalan Pengajaran,Selangor, Utusan
Publication& Distrib.
2.
Atan Long Ph.D
(1980),Pedagogi Kaedah Am Mengajar, Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
3.
Ahmad Mohd
Salleh (1997), Pendidikan Islam: Falsafah, Pedagogi dan Metodologi.Shah
Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
4.
Ee Ah Meng
(2000), Pendidikan diMalaysia, Falsafah Pendidikan, Guru dan
Sekolah(edisi kedua), Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
6.
Leonard M.S Yong, Karen L (1996), Guru
Yang Kreatif, Isu- Isu Teorikal & Aplikasi Praktikal, Kuala Lumpur:
Arena Buku Sdn Bhd.
7.
Sharifah Alwiyah Alsagof (1983), Ilmu
Pendidikan: Pedagogi.Kuala Lumpur: Helnemann Asia
No comments:
Post a Comment